Batu Pahat - Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Batu Pahat

MENU
MENU
Go to content



Latar Belakang Batu Pahat

Nama Batu Pahat dikatakan dari peristiwa memahat batu untuk mendapat bekalan air tawar di pantai Minyak Beku yang terletak di Kuala Sungai Batu, Batu Pahat. Kerja ini dilakukan oleh angkatan tentera Siam (Orang-orang Muslim Pattani Siam ) di bawah pimpinan Awi Dicu dalam abad ke-15 sewaktu hendak menyerang Melaka. Kesan pahatan tersebut masih terdapat hingga sekarang. Kesan ini dikenali sebagai Perigi Siam atau Perigi Batu Pahat. Pusat bandar bagi daerah Batu Pahat ialah Bandar Penggaram. Nama Penggaram itu dikatakan berasal daripada ‘pangkal jeram’, kerana terdapat jeram di sebuah sungai kecil yang mengalir dari bukit belakang bandar tersebut (Interesting BP Info, 2013)

Batu Pahat (dikenali sebagai Bandar Penggaram) merupakan sebuah daerah di pantai barat Semenanjung Malaysia, di negeri Johor. Daerah ini terletak di tenggara Muar, barat daya Kluang, timur laut Pontian dan selatan Segamat. Daerah Batu Pahat adalah salah satu daripada sepuluh daerah di Johor. Pada tahun 2008, Batu Pahat di tangga ke-12 di Malaysia sebagai bandar besar yang berkepadatan tinggi. Pada tahun 2012, Batu Pahat menjadi bandar ke-16 di seluruh Malaysia yang pesat membangun, akibat limpahan perkembangan perindustrian dan juga bidang pendidikan. Selain itu, Batu Pahat juga terkenal dari kalangan warga Singapura dan mereka menggelarnya sebagai 'Syurga Membeli-Belah di Johor Utara'. Batu Pahat terletak pada koordinat 1°5′U 102°56′T. Ia adalah sejauh 239 kilometer dari Kuala Lumpur. Bandar terdekat dengan Batu Pahat ialah Muar yang terletak 50 kilometer ke utaranya. Bandar Kluang pula berada 52 kilometer di timur. Johor Bahru terletak lebih kurang 70 hingga 100 kilometer ke arah tenggara. Batu Pahat juga menghadap ke Selat Melaka (Interesting BP Info, 2013).

Sumber : http://www.heritagemalaysia.my/Jhr-BatuPahat.html






Dikemaskini : 15 DISEMBER 2023
Back to content